Wednesday, 24 July 2013

'Poyo' perlu atas pentas - Hazama

HAZAMA menafikan yang dia cuba memperbodoh-bodohkan Amy Search dan Ramli Sarip dengan meniru aksi dan vokal mereka ketika membuat persembahan di pentas.


PENYANYI kelahiran Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama Ahmad Azmi atau Hazama pernah dituduh sebagai penyanyi ‘poyo’ (berlagak bagus) apabila dia sering menunjukkan aksi yang berlebih-lebihan di atas pentas. 
Enggan berterusan dilabel sebagai ‘poyo’, Hazama berani mempertaruhkan judul album sulungnya sebagai Penglipur Lara. Ia bagi membuktikan dirinya seorang penghibur biarpun dia boleh dianggap masih lagi ‘hijau’ dalam dunia nyanyian.
Seiring dengan kemunculan album sulungnya itu, Hazama turut mengadakan persembahan mini, sekali gus melancarkan album sulungnya itu di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam persembahan mininya itu dia menyampaikan lapan buah lagu termasuk lagu popular Tanya Sama Pokok dan Simetri serta lagu ciptaannya sendiri iaitu Dengarlah. Hazama turut meniru gaya dan vokal penyanyi Amy (Search) dan juga Ramli Sarip bagi menghiburkan peminat-peminatnya pada malam itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hazama selanjutnya.
Kosmo!: Sebelum ini ada yang melabelkan Hazama sebagai ‘poyo’ tetapi tidakkah risau label tersebut akan terus dikaitkan dengan anda, lebih-lebih lagi selepas nekad meletakkan judul Penglipur Lara sebagai judul album sulung?
HAZAMA: Ada yang salah faham dengan karakter saya. Saya fikir, kita harus ‘poyo’ di atas pentas untuk menghibur dan menggembirakan orang ramai. Sebaliknya, orang salah faham pula. Saya harap tiada lagi salah faham dan melabelkan saya ‘poyo’ selepas kemunculan album Penglipur Lara ini. Sebab, niat saya hanya untuk menghiburkan orang.
Berapa buah lagukah yang terkandung dalam album Penglipur Lara?
Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Majnum, Semalam, Akhir Ceritera, Ulik Mayang, Penglipur Lara, Noktah, Simetri (duet dengan Amy Search), Relakan Jiwa serta sebuah lagu ciptaan saya sendiri iaitu Dengarlah.
Boleh kongsikan cerita mengenai lagu ciptaan anda itu?
Saya dapat inspirasi untuk menghasilkan lagu Dengarlah melalui pengalaman diri sendiri seperti cinta, selain perjalanan susah dan senang kehidupan saya selama ini.
Setelah tujuh tahun menyanyi kini Hazama sudah memiliki album. Bagaimanakah perasaan anda?
Tujuh tahun lalu saya hanya mampu berangan untuk memiliki album sendiri. Akhirnya, impian saya itu menjadi kenyataan. Sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu-lagu orang. Kini, saya memiliki lagu yang dimahukan. Kalau boleh, saya mahu jadi penyanyi versatil.

SELEPAS tujuh tahun bergelar penyanyi, Hazama kini boleh tersenyum kerana impiannya untuk memiliki album sendiri terlaksana.


Siapakah komposer yang mencipta lagu-lagu Hazama?
Album berkonsepkan pop rock ini mempertaruhkan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Audi Mok, Omar K, Manusia Putih, Mike Chan, Zel Hadauan dan Cat Farish.
Tahniah atas persembahan mini anda. Apakah yang Hazama harapkan melalui persembahan mini tersebut?
Tujuan saya adakan persembahan mini ini bukan sahaja untuk melancarkan album tetapi juga untuk memperkenalkan kumpulan saya. Bila ada persembahan secara langsung saya akan buat persembahan dengan mereka. 
Kenapakah anda perlu mempunyai sebuah kumpulan sendiri untuk mengadakan persembahan secara langsung?
Sebenarnya, saya sudah bosan menyanyi secara minus one. Saya lebih puas bila menyanyi menggunakan muzik secara langsung iaitu secara berkumpulan.
Ketika di atas pentas tadi Hazama ada meniru gaya dan suara penyanyi otai Amy Search dan juga Ramli Sarip, malah ia dibuat secara lawak. Tidakkah anda rasa perbuatan itu seperti menyindir atau memperbodoh-bodohkan mereka?
Saya tidak berniat untuk menyindir mahupun memperbodoh-bodohkan Amy Search dan Ramli Sarip. Mereka adalah idola saya. Saya membesar dengan lagu-lagu Amy, Zamani, Ramli Sarip dan juga Nash. Saya sekadar ambil mood untuk memberikan persembahan yang mantap. Saya juga lakukannya sebagai suatu penghormatan kepada mereka.
Adakah anda turut meniru suara penyanyi-penyanyi tersebut ketika menyanyikan lagu-lagu anda?
Mereka sekadar inspirasi. Saya tidak pernah mahu berada dalam industri dengan menjadi orang kedua atau orang lain.
Hazama tidak pernah merahsiakan mengenai percintaan dengan seorang gadis. Bilakah anda dan kekasih bakal berkahwin?
Album sulung saya baru muncul, jadi saya mahu fokus kepada kerjaya dahulu. Saya juga belum begitu kukuh dalam industri seni. Mujur si dia sangat memahami.
Ramadan baru menjelma, jadi apakah aktiviti anda sepanjang bulan ini?
Saya akan sibuk sepanjang Ramadan dengan rangka promosi album dan juga penggambaran filem Hantu Nan Sempit. Saya juga terlibat dengan program televisyen Sampaikan Salam Raya di Astro tetapi saya tetap akan pulang berhari raya di Ipoh, Perak.

No comments:

Post a Comment