Wednesday 24 July 2013

Farah AF Nafi Mencuri



SEBUT sahaja Farah Breep Breep atau Farah AF pastinya semua orang mengenali dirinya. Bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kedua itu kini kembali aktif dalam bidang nyanyian setelah sekian lama menyepi. 
Dia bakal muncul dengan lagu Sehati Sejiwa yang diberi nafas baharu. Lagu itu dijadikan lagu runut bunyi untuk drama Cinderella lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose.
Farah, 28, yang sebelum ini cukup sinonim sebagai hos terutama menerusi program Nasi Lemak Kopi O dan Rasa Halal Orient berkata: “Pembabitan saya dengan lagu runut untuk drama Cinderella yang berjudul Sehati Sejiwa ini merupakan suatu permulaan yang baik buat saya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.”
Baru sahaja muncul kembali, Farah tidak semena-mena dikaitkan dengan gosip ‘panas’ apabila dia ditohmah sebagai individu yang terlibat dengan kes mencuri di set penggambaran sebuah program. 
Kes tersebut melibatkan banyak barang yang hilang seperti baju dan duit.
Farah didakwa tidak memulangkan semula baju yang dipakainya untuk mengacara dan dikatakan ada satu pihak yang cuba untuk menguji kejujuran Farah dengan meletakkan kertas-kertas yang dicetak saling tak ubah seperti wang kertas ke dalam poket baju yang dipinjamkan kepadanya. 
Apabila baju itu dipulangkan, kertas yang konon-kononnya duit itu hilang begitu sahaja. 
Kosmo! berkesempatan menemui Farah pada sesi rakaman suara di Studio Camwood, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai gosip tersebut. 
Namun, penjelasan yang diberikan oleh pemilik nama sebenar Farah Diana Anuar itu ternyata berbeza dengan gosip yang diuar-uarkan selama ini.
Siapa yang betul dan siapa yang salah sebenarnya? 
Kosmo!: Ada gosip baru muncul tentang hos tangan panjang. Desas-desus mendakwa hos itu ialah Farah. Boleh Farah jelaskan tentang dakwaan tersebut?
FARAH: Sebenarnya, kejadian tersebut berlaku pada hari ketiga Ramadan. Tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak pernah lakukan perbuatan terkutuk sebegitu pada bulan Ramadan ini. Ceritanya macam ini, setelah selesai mengacara, saya ke bilik persalinan untuk menukar baju dan di situ terdapat banyak baju. Ketika saya nak pakai tudung, saya ternampak duit yang sudah terkeluar dari satu poket baju. Saya tak tahu mengapa saya terlalu baik hati untuk mengambil dan berniat untuk memulangkan semula duit tersebut kepada pihak yang sepatutnya. 

FARAH mengakui dirinya hampir pengsan apabila dituduh mencuri.


Pihak manakah yang Farah maksudkan?
Kebetulan, ayah saya merupakan bekas pengawal keselamatan di TV3. Jadi, saya fikir untuk menyerahkan duit tersebut kepada ayah saya. Ini kerana ayah saya kenal dengan ramai pengawal di situ dan tahu ke mana duit itu sepatutnya dibawa.
Apakah tindakan Farah untuk memperbetulkan keadaan pada ketika itu?
Sejujurnya, saya langsung tidak diberi langsung peluang untuk memperbetulkan keadaan tetapi saya dicerca dengan pelbagai tohmahan sehingga saya digelar pencuri, penjenayah dan pendatang. Tiada seorang pun yang bersama dengan (menyokong) saya. Saya cuba untuk hubungi ayah dan suami saya, namun telefon saya habis bateri ketika itu. Jika saya berkata yang benar pun, tidak akan ada yang percaya. Saya hampir pengsan apabila semua orang menyalahkan saya.
Namun, isu ini bukan kali pertama yang mengatakan Farah sebagai seorang yang panjang tangan, tetapi sudah ada kes yang mengatakan Farah juga sebenarnya mencuri iaitu tidak memulangkan semula busana yang dipakai semasa mengacara. Boleh Farah jelaskan?
Sepanjang karier saya, tidak pernah terjadi perkara sebegitu. Semua baju yang saya pakai, saya pulangkan semula. Jadi mana isu yang mengatakan saya tidak pulangkan semula baju tersebut. Selama saya bekerja sebagai duta Power Root dan pengacara, tidak pernah sesekali timbul isu ini, dan jika benar saya lakukannya, sudah lama saya diberhentikan atas tindakan tersebut.
Bagaimanakah akhirnya penyelesaian isu duit tersebut?
Sebenarnya, isu duit tersebut sudah selesai. Tuan empunya duit tersebut sangat bersahaja. Hanya orang di sekeliling yang melebih-lebih. 
Tidakkah rasa keterlaluan apabila orang mempunyai prasangka buruk tentang diri Farah?
Sebenarnya, kita tidak boleh lari daripada ketidakpuasan hati orang lain. Saya amat terkilan apabila saya dituduh atas perkara yang saya tidak lakukan itu. Ini merupakan sesuatu yang dirancang untuk menjatuhkan saya!
Apakah ini merupakan satu dugaan buat Farah?
Sememangnya ini merupakan satu dugaan pada bulan puasa, dan saya reda dengan segala yang terjadi. Saya serik untuk lakukan kebaikan, apabila apa yang kita buat telah disalahertikan. Sepatutnya, pada bulan baik ini, buatlah benda yang baik dan jangan hanya menuduh benda yang tidak berasas kerana saya mahu berada lama dalam dunia seni ini.

No comments:

Post a Comment