Datuk K Dan Siti Nurhaliza Rancang Bercuti | Setelah lebih empat bulan lebih menjalani rawatan akibat terlibat dalam kemalangan pada Disember lalu, suami Dato' Siti Nurhaliza Taruddin iaitu Dato' Seri Khalid Mohd Jiwa kini telah pulih hampir sepenuhnya.
Melihat pada keadaan baik itu, Siti Nurhaliza berkata dia dan Dato Seri Khalid Mohd Jiwa atau Dato' K telah merancang untuk pergi bercuti di dalam Malaysia.
"Agak lama kami tidak bercuti lebih-lebih lagi selepas Dato' K ditimpa kemalangan. Jadi kami merancang hendak pergi bercuti dan berehat bersama tidak lama lagi. Oleh kerana Dato' K masih lagi memerlukan rawatan susulan, kami hanya akan bercuti di dalam negara sahaja. Mungkin kami akan bercuti ke Pulau Pinang.
"Namun, saya rasa kami tidak akan mengambil masa yang lama kerana saya pun banyak urusan yang belum diselesaikan selain bidang nyanyian saya juga kini sibuk mempromosikan SimplySiti untuk produk haruman terbaru bagi lelaki," kata Siti lagi.
Di minta mengulas mengenai kesihatan suaminya, Siti berasa sangat gembira kerana suaminya semakin pulih dan kembali melakukan senaman di gym bersama-sama.
"Jika hendak diikutkan, Dato' K belum sihat sepenuhnya tetapi saya nampak kesihatannya sudah semakin baik dan dia juga sudah boleh bergerak normal seperti mana dulu.
"Kami juga sudah boleh pergi gym bersama-sama dan melakukan aktiviti seperti kick boxing sepertimana yang kami lakukan sebelum dia ditimpa kemalangan," jelasnya lagi.
Namun apabila ditanya, adakah Siti membenarkan suaminya kembali melakukan aktiviti sukan bermotor lagi, Siti memberitahu dia sudah pun melarang suaminya untuk melakukan aktiviti yang sedemikian.
"Saya rasa dia pun sudah serik untuk naik motor tetapi terus-terang saya sendiri sudah melarangnya untuk kembali melakukan aktiviti lasak itu. Hingga kini Dato' K perlu berhati-hati kerana tangan dan jarinya masih belum kuat untuk memegang atau mengangkat barang berat, apatah lagi menunggang motor," luahnya lagi.
No comments:
Post a Comment